Mayat dua wanita ditemui dalam longkang
Mayat dua wanita ditemukan dalam longkang, dipercayai ada pertalian keluarga
Alor Setar: Mayat dua wanita dengan kesan kecederaan ditemukan dalam longkang di belakang sebuah bangunan terbiar di Lebuhraya Sultan Abdul Halim, di sini, hari ini.
Mayat mereka ditemukan berpakaian lengkap dengan seorang daripada mangsa dalam keadaan tertiarap dan terlentang bersebelahan antara satu sama lain.
Bagaimanapun identiti mereka belum dikenal pasti namun difahamkan mereka dipercayai mempunyai pertalian keluarga.
Tinjauan di lokasi mendapati, sepasukan Unit Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Unit Anjing Pengesan (K-9) berada di lokasi melakukan siasatan.
Mayat kedua-dua wanita terbabit kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut.
Siasatan polis selesai di lokasi pada jam 8.50 malam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad mengesahkan penemuan dua mayat itu dan akan mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian itu dalam masa terdekat nanti.
Disiarkan pada: Ogos 19, 2024 @ 10:20pm
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
#infosemasa
Ulasan
Catat Ulasan